Info Oleh : Kosmo
SEORANG bapa mencetuskan kegemparan di Austria selepas mengurung dan merogol anak perempuannya yang disembunyikan selama 24 tahun sehingga melahirkan tujuh orang anak sebelum dibongkar kelmarin.
SEORANG bapa mencetuskan kegemparan di Austria selepas mengurung dan merogol anak perempuannya yang disembunyikan selama 24 tahun sehingga melahirkan tujuh orang anak sebelum dibongkar kelmarin.
Bapa itu, Josef Fritzl, 73, kini ditahan oleh polis dan dia mengaku mengurungkan anaknya, Elisabeth Fritzl yang kini berumur 42 tahun.
Josef yang dibawa ke mahkamah semalam mendedahkan bahawa dia membina sebuah bilik kurungan bawah tanah di kediamannya di Amstetten untuk mengurung Elisabeth. Lelaki itu juga mengaku melakukan perbuatan sumbang muhrim dengan anaknya itu tetapi dia menegaskan tiada unsur paksaan. Sebelum ini, selama 24 tahun pihak polis menyangka Elisabeth melarikan diri dari rumah ketika berumur 18 tahun untuk menyertai satu kumpulan ajaran sesat.
Bagaimanapun, tragedi yang menimpa wanita itu terbongkar kelmarin selepas salah seorang daripada anak perempuan mangsa yang berumur 19 tahun sakit tenat dan Josef terpaksa membawanya ke hospital.
Para doktor kemudiannya merayu supaya ibu remaja itu tampil bagi memberikan lebih maklumat berhubung sejarah kesihatannya. Menurut polis, Josef kemudiannya membawa Elisabeth dan dua anaknya keluar daripada bilik kurungan buat pertama kalinya dalam tempoh 24 tahun dan memberitahu isterinya, Rosemarie bahawa anak mereka yang melarikan diri dahulu kini sudah pulang.
Namun, Elisabeth bersetuju membuat satu kenyataan kepada pihak polis selepas mendapat jaminan bahawa dia tidak akan berjumpa dengan bapanya itu yang didakwa menderanya sejak berumur 11 tahun. Menurut Elisabeth, tiga anaknya hasil hubungan sumbang mahrim yang berumur 19, 18 dan 5 tahun dikurung di dalam bilik itu sejak dilahirkan serta tidak pernah melihat cahaya matahari.
Wanita itu juga mendakwa telah melahirkan tujuh orang anak di bilik kurungan itu tetapi salah seorang daripadanya meninggal dunia ketika dilahirkan. Enam anaknya yang masih hidup adalah terdiri daripada tiga perempuan dan tiga lelaki yang kini berumur antara lima hingga 20 tahun.
Seorang jurucakap pendakwa raya, Gerhard Sedlacek berkata, bilik kurungan yang digunakan untuk mengurung wanita itu berukuran 60 meter persegi dan mempunyai ketinggian 1.70 meter serta dilengkapi perabut seperti sebuah flat.
Bilik kurungan itu bersambung dengan garaj dan hanya boleh dimasuki melalui satu pintu yang dilengkapi dengan kunci elektronik serta kod rahsia. Akhbar Kronen-Zeitung menggambarkan Josef sebagai seorang nelayan dan dihormati oleh jiran dan penduduk setempat. Bagaimanapun, perwatakan baik lelaki itu sebenarnya adalah satu topeng dan dia seperti raksaksa yang ganas di rumahnya sendiri.
“Amstetten kini berada dalam kejutan dan kami bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa serta anak-anaknya,” kata Datuk Bandar Amstetten, Herbert Katzengruber.Beberapa ujian DNA juga akan dijalankan bagi memastikan sama ada Josef adalah bapa kepada enam anak mangsa. Pihak polis berkata, anak ketujuh Elisabeth meninggal dunia tidak lama selepas dilahirkan dan mayatnya telah dibakar. Josef kemudinya mengambil tiga anak mangsa yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan sebagai anak angkat. Lelaki itu memberitahu isterinya dan pihak berkuasa bahawa ketiga-tiga bayi itu ditinggalkan oleh Elisabeth di pintu rumah mereka sejak beberapa tahun lalu. Setiap bayi yang didakwanya dihantar ke rumah mereka itu disertakan dengan sepucuk surat yang mempunyai tandatangan palsu Elisabeth yang mendakwa dia tidak mampu memelihara anaknya itu. Ketiga-tiga kanak-kanak itu pergi ke sekolah dengan menjalani kehidupan seperti biasa tanpa menyedari bahawa ibu dan tiga lagi adik beradiknya dikurung di rumah mereka. - Agensi